Fatwa, Panduan dan Pesanan Para Ulama dalam Mendepani Virus COVID-19

Fatwa, Panduan dan Pesanan Para Ulama dalam Mendepani Virus COVID-19

Oleh kerana wabak ini amat baru, makanya kami dapati para ulama’ mengambil sedikit masa untuk mengemukakan pandangan. Alhamdulillah, selepas hampir tiga bulan dan wabak masih berterusan, makanya kami kemukakan beberapa pandangan ulama’.

  • Majlis Fatwa Syar’i UAE

Majlis Fatwa UAE yang diketuai oleh Sheikh Abdullah Bin Bayyah telah membincangkan berkenaan hukum pergi solat jumaat dan berjemaah ketika berlakunya penularan virus COVID-19. Mereka mengeluarkan beberapa garis panduan. Antara garis panduan tersebut :

  • Wajib pada syara’ kepada masyarakat untuk mematuhi segala peraturan dan taklimat kesihatan yang telah dikeluarkan oleh pihak berautoriti di dalam negara. Tidak boleh untuk menyanggahi apa yang telah dikeluarkan supaya ianya dapat mengawal virus tersebut terus merebak. (Dalam konteks ini, jika di Malaysia adalah Kementerian Kesihatan Malaysia)
  • Haram hukumnya bagi sesiapa yang dijangkiti atau disyaki dijangkiti virus tersebut untuk berada di tempat yang umum atau pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, berjemaah mahupun solat hari raya. Wajib juga untuk mengambil segala langkah pencegahan.
  • Rukhsah diberikan kepada mereka yang tua atau yang dijangkiti virus atau disyaki untuk tidak hadir solat berjemaah, jumaat atau solat tarawih. Mereka boleh solat di rumah mereka dan mereka boleh solat zohor sahaja sebagai ganti kepada solat jumaat.
  • Wajib mendokong segala usaha untuk mengekang penularan virus dan tidak boleh menyebarkan maklumat yang bukan datang dari maklumat rasmi kerajaan agar keadaan sentiasa stabil dan aman.

Fatwa ini dikeluarkan adalah berdasarkan beberapa dalil daripada Al-Quran, sunnah, ijmak dan juga qiyas.

  • Markaz al-Fatwa Al-Azhar

Al-Azhar menyebut bahawa boleh untuk berkumpul untuk menunaikan solat khusus kemudian berdoa, memohon dan bermunajat kepada Allah agar dijauhkan dan diselamatkan daripada wabak virus COVID-19.

  • Majlis Fatwa Wilayah Kurdistan

Majlis Fatwa Wilayah Kurdistan dalam fatwa bertarikh 3 Mac 2020 telah mencapai beberapa keputusan, iaitu:

  • Sesiapa yang disyaki menghidap coronavirus tidak boleh hadir solat berjemaah di masjid
  • Solat Jumaat tidak boleh dibatalkan, melainkan di tempat-tempat di mana virus tersebut telah menjadi satu epidemik yang tersebar secara meluas
  • Dicadangkan kepada para imam untuk memendekkan solat Jumaat dan memastikan kebersihan masjid terjaga
  • Dicadangkan kepada ahli jemaah untuk mengambil wudhu di rumah mereka, dan bukan di masjid
  • Majlis-majlis keagamaan dan kemasyarakatan seperi kelas pengajian agama dan al-Qur’an, walimah perkahwinan, sambutan Maulid Nabi SAW dan Israa’ Mi’raj perlu dibatalkan sebagai langkah pencegahan
  • Muslim yang meninggal dunia disebabkan coronavirus dianggap sebagai mati syahid
  • Elakkan daripada mengunjungi pesakit di rumah atau di hospital, cukup sekadar bertanya khabar melalui panggilan telefon atau mesej.
  • Fatwa Committee of the Assembly of Muslim Jurists of America (AMJA)

Menurut AMJA, solat Jumaat tidak boleh dibatalkan melainkan pihak berkuasa kesihatan telah menasihatkan pembatalan atau penangguhan majlis di rumah-rumah ibadat dan mengelakkan daripada menyertai perkumpulan orang ramai.

Setelah pihak berkuasa mengeluarkan arahan demikian, pihak pengurusan masjid mestilah mematuhinya, dan ini merupakan alasan yang kukuh untuk kaum Muslimin bersolat Zohor di rumah sebagai ganti kepada solat Jumaat, sehinggalah arahan tersebut dibatalkan.

  • Majelis Ulama Indonesia (MUI)

MUI mengingatkan agar sentiasa berperilaku dengan kehidupan yang sihat dari segi pemakanan dan sebagainya agar dapat mencegah virus ini dari terus merebak. Mereka juga memperingatkan agar memperbanyakkan doa dan zikir agar sentiasa sentiasa dilindungi dari virus ini.

Pendapat Kami

Setelah meneliti pelbagai pandangan dan pendapat dari Badan Fatwa Dunia Yang Berautoriti dan juga pendapat tokoh ulama’, makanya kami kemukakan pendapat kami seperti berikut:

  • Kewajiban pesakit untuk menerima rawatan seperti yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sama ada mereka dirawat di wad-wad atau dikuarantin di rumah.
  • Mereka yang positif hendaklah tidak bergaul dan menghadiri ke majlis atau tempat perhimpunan agar jangkitan dan wabak tersebut tidak merebak kepada yang lain.
  • Wajib mengelakkan diri dari melancong ke tempat wabak COVID-19 ini seperti di Wuhan, China dan tempat-tempat lain yang telah dikeluarkan oleh WHO atau Kementerian Kesihatan Malaysia.
  • Peraturan dan saranan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia hendaklah dipatuhi.

Kami akan kemukakan setiap satu persoalan berkaitan COVID-19 dalam jawapan al-Kafi Edisi Khas, dalam bentuk bersiri, insya Allah.

Dalil dan Hujah

Kami kemukakan di sini beberapa dalil dan hujah dalam menangani isu ini. Antaranya:

  • Firman Allah SWT:

لَا تُلْقُوا۟ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى ٱلتَّهْلُكَةِ

Maksudnya : “Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan…”

Surah Al-Baqarah (195)

Al-Baghawi menjelaskan bahawa setiap perkara yang membawa kepada kebinasaan dalam agama mahupun dunia, maka ia termasuk dalam makna ayat ini.  (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 1/367)

  • Firman Allah SWT lagi :

وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ

Maksudnya : “…Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri…”

Surah al-Nisa (29)

Menurut al-Jassas, ayat ini mengandungi larangan daripada melakukan pembunuhan sama ada terhadap orang lain atau terhadap diri sendiri. (Lihat Ahkam al-Quran, 3/127).

Al-Maraghi berkata: Janganlah seseorang membunuh temannya. Gaya bahasa ini menanamkan kesan yang kuat bagi melarang perbuatan tersebut, selain menyedarkan betapa perlunya saling menolong, saling menanggung beban dan bersatu hati. Dalam sebuah hadith dinyatakan: “Kaum muslimin laksana satu tubuh.” Seorang yang membunuh orang lain akan dikenakan qisas atau hukum balas dan tindakan dirinya itu seolah-olah membunuh dirinya sendiri.

Oleh itu, al-Quran mengajarkan kepada kita bahawa tindakan jahat kepada orang lain sama dengan berbuat jahat kepada diri sendiri dan kepada sesama manusia, dan bukannya hanya dengan orang yang seagama sahaja atau yang sebangsa sahaja, atau yang sehaluan fahaman politik. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1170)

  • Di dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman :

وَإِذَا جَآءَهُمْ أَمْرٌ مِّنَ ٱلْأَمْنِ أَوِ ٱلْخَوْفِ أَذَاعُوا۟ بِهِۦ ۖ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى ٱلرَّسُولِ وَإِلَىٰٓ أُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ ٱلَّذِينَ يَسْتَنۢبِطُونَهُۥ مِنْهُمْ

Maksudnya : “Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada – “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka…”

Surah Al-Nisa’ (83)

Ayat ini adalah berkenaan bantahan dan penolakan terhadap orang  orang yang tergesa-gesa dalam pelbagai urusan sebelum memastikan kebenaran, lalu dia memberitakannya, menyiarkannya dan menyebarluaskannya sedangkan terkadang perkara itu tidak benar. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/360)

  • Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :

وَفِرَّ مِنْ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنْ الْأَسَدِ

Maksudnya: “Larilah daripada penyakit berjangkit seperti mana kamu lari daripada singa.”

Sahih Al-Bukhari (5707)

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (10/159) berkata: Iyadh menyebut bahawa telah khilaf pelbagai athar berkenaan pesakit kusta. Apa yang datang daripada Jabir R.A bahawa Nabi SAW pernah makan bersama pesakit kusta dan baginda menyebut: “ثِقَةً بِاللَّهِ وَتَوَكُّلًا عَلَيْهِ ” (Bergantung harap kepada Allah dan tawakkal kepada-Nya). Katanya (Iyadh) lagi: Saidina Umar dan sebahagian ulama salaf berpendapat bahawa hadis makan bersama itu dengan melihat bahawa perintah tersebut agar dijauhinya (pesakit kusta) telah dimansukhkan. Mereka yang berpendapat demikian termasuklah Isa bin Dinar dari kalangan ulama Maliki. Katanya lagi: Yang sahih dan dipegang oleh kebanyakan ulama serta diikuti bahawa tidak ada nasakh bahkan hendaklah menghimpun dua hadis dengan cara hadis perintah menjauhkannya dan lari daripadanya dengan maksud sunat dan sebagai ihtiyat (berhati-hati). Sedangkan hadis Rasulullah SAW makan bersama pesakit kusta memberi maksud hukumnya adalah harus.

  • Begitu juga ijmak daripada para ulama yang sepakat akan kaedah :

الضَرَرُ يُزَالُ

Maksudnya: “Kemudaratan perlu dihilangkan.”

Yang mana termasuk juga di dalam kaedah ini menjauhkan diri dari tempat-tempat yang dijangkiti virus sebagai langkah menjaga nyawa.

Begitu juga kias kepada larangan Nabi SAW daripada menghadiri solat jemaah bagi  orang yang memakan bawang putih dan bawang kerana boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada para jemaah. Kalau makanan yang berbau pun Nabi larang untuk hadir menyertai solat berjemaah apatah lagi mereka yang dijangkiti virus ataupun yang disyaki menghidapi virus tersebut.

Syor dan Cadangan

Pertama: Kepada pihak berkuasa

Antaranya:

  • Laksanakan saringan awal di pintu-pintu masuk sempadan sama ada di lapangan terbang, pelabuhan dan lain-lain dengan menyediakan pegawai perubatan untuk mengesan simptom-simptom. Sediakan kaunter khas bagi negara yang berisiko tinggi. Alhamdulillah, langkah seperti ini telah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
  • Membuat sekatan masuk sementara semua pelawat dari negara yang berpotensi besar dan mempunyai rekod.
  • Memperbanyak produk hand sanitiser dan penutup mulut di seluruh farmasi. Mengedarkan secara percuma barangan berikut atau dengan harga yang amat murah dan berpatutan.
  • Bekerjasama dengan hospital swasta meningkatkan lagi tenaga kerja dalam memantau dan menangani isu COVID-19.

Kedua: Kepada orang ramai

Antaranya:

  • Elakkan daripada ke luar negara dalam masa yang terdekat melainkan dalam keadaan terdesak.
  • Menangguhkan perjalanan ke wilayah-wilayah atau bandar-bandar yang diisytiharkan sebagai kawasan COVID-19.
  • Mana-mana individu yang baru pulang dari negara yang diisytiharkan COVID-19 mengambil inisiatif sendiri dengan melakukan self-quarantine dalam tempoh 14 hari.
  • Mereka yang baru pulang dari luar negara (tempat yang diisytiharkan kawasan COVID-19) dan sekiranya bergejala dalam tempoh 14 hari, hendaklah mendapatkan rawatan dengan segera. Hendaklah memaklumkan sejarah perjalanan tersebut kepada pengamal perubatan.
  • Kurangkan aktiviti luar dan elakkan diri dari tempat-tempat perkumpulan orang ramai seperti pasar, pasaraya dan lain-lain
  • Menjaga kebersihan diri, pakaian, tempat dan sebagainya.
  • Barangan dari negara yang direkodkan, sebagai langkah pencegahan, menggunakan tisu yang dibasahkan dengan losyen, hand sanitiser atau sabun dan lap barangan yang baru sampai.
  • Kerap kali membasuh tangan atau menggunakan hand sanitiser sebelum menyentuh anggota badan yang sensitif seperti mata dan mulut.
  • Elak dari makan sebarang produk haiwan yang mentah atau tidak dimasak dengan sempurna.
  • Sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung serta bahan pencuci tangan iaitu hand sanitiser.
  • Menutup mulut dan hidung apabila batuk dan bersin menggunakan tisu. Buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah.
  • Memakai penutup mulut dan hidung apabila terpaksa berhubung atau berurusan dengan orang lain.
  • Tidak digalakkan bersalaman dengan pesakit atau orang yang mempunyai simptom-simptom penyakit COVID-19.
  • Sentiasa tenang dalam menghadapi situasi dan mengikut arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
  • Jangan menyebarkan sebarang berita palsu agar tidak menimbulkan ketidaksenangan dan kekeliruan terhadap masyarakat.
  • Jangan mengeluarkan sebarang ijtihad atau pendapat sendiri berkenaan dengan hukum hakam agama melainkan apa yang dikeluarkan oleh pihak yang berautoriti.

Penutup

Kami telah kemukakan sejumlah doa berkenaan dengan harapan dan munajat kita kepada Allah agar dihindarkan daripada wabak COVID-19 serta penyakit yang kronik dan berjangkit. Antaranya:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.” (5493) dan Abu Ya’la (2897)

Kami mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan jutaan terima kasih “جزاكم الله خير الجزاء” kepada Kementerian Kesihatan Malaysia terutamanya mereka yang terlibat secara langsung dalam merawat dan membantu pesakit COVID-19 antaranya pegawai perubatan, pakar-pakar, nurse, attendant, pemandu ambulans dan lain-lain lagi yang bertungkus-lumus berhadapan dengan pesakit. Mereka adalah pejuang yang tidak didendang. Terima kasih.

Kami mengharapkan agar sama-samalah kita mengambil langkah proaktif dalam menangani isu wabak COVID-19. Antara yang paling mudah, kerap kali membasuh tangan serta membersihkan tubuh badan. Semoga Bayan Linnas pada kali ini memberi suntikan semangat kepada kita untuk sama-sama mengikut garis panduan yang telah dikemukakan. Amin.

Bacaan penuh di sini

Sumber: Bayyan Linnas siri ke- 224, covid-19: Saranan Kami

This website uses cookies.