Pesakit pertama positif coronavirus disahkan sembuh di Malaysia

Sumber: KKM

KANAK-kanak warga China berusia empat tahun yang menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi kerana disahkan positif koronavirus baharu sudah dibenarkan pulang berikutan keadaannya semakin sihat.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika tempoh rawatan dan pemantauan dijalankan ke atasnya, sampel klinikal sudah diambil semula sebanyak dua kali berturut-turut.

Menurutnya, hasil ujian pengesanan ulangan koronavirus baharu mendapati kanak-kanak berkenaan negatif virus berkenaan.

“Beliau kini berada dalam keadaan sihat dan dibenarkan pulang. Kes ini menunjukkan bahawa jangkitan koronavirus baharu boleh dirawat dan pesakit boleh kembali sembuh sepenuhnya, sebagaimana banyak lagi kes lain yang turut dilaporkan di China.

“Tanggapan ramai bahawa penyakit ini pastinya membawa maut kepada mereka yang menghidapnya adalah tidak tepat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengucapkan tahniah kepada Hospital Sultanah Maliha yang sudah memberikan rawatan dan pemantauan rapi sehingga kanak-kanak itu sihat semula dan dibenarkan pulang.

Terdahulu, kanak-kanak berkenaan disahkan positif koronavirus baharu pada 29 Januari lalu.

Sumber: Harian Metro

This website uses cookies.