Pesakit Virus Korona Pernah Tenat Kini Pulih

Lagi update mengenai virus korona yang menular sejak bulan disember yang lepas.

Kementerian Kesihatan mengesahkan seorang pesakit virus novel koronavirus 2019 berjaya sembuh sepenuhnya.

Berkongsi berita itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit berkenaan pernah tenat ketika dirawat pada hari kedua wad pengasingan Hospital Permai, Johor Bahru sehingga memerlukan bantuan oksigen.

Menurut beliau, sehubungan itu, pihak hospital memutuskan untuk memulakan rawatan dengan ubat antiviral Kaletra.

“Kajian x-ray dada pada hari keempat menunjukkan tanda-tanda jangkitan bertambah tenat.

“Pihak hospital telah memulakan rawatan dengan ubat antiviral Kaletra (off-label use) pada 28 Januari 2020,” tulis Dr Noor Hisham dalam perkongsian di Facebook pada Sabtu.

Rawatan berkenaan, jelas Dr Noor Hisham, terbukti berkesan apabila keadaan pesakit bertambah baik dan telah sembuh sepenuhnya selepas lapan hari rawatan.

“Terkini keputusan ujian ulangan kali ketiga didapati negatif, selepas ujian pertama dan kedua juga  didapati negatif.

“Pesakit seterusnya akan dibenarkan pulang pada petang ini,” maklum beliau lagi.

Dr Noor Hisham turut merakamkan tahniah kepada pasukan perubatan yang diketuai oleh Dr Masliza Zaid yang merupakan pakar perubatan penyakit berjangkit.

Sumber: Facebook Dr Noor Hisham dan Astro Awani

This website uses cookies.