Pusat Kuarantin Covid-19 Taraf 5 Bintang?

Kira-kira 15-20% rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara tidak mematuhi arahan “self quarantine” selama 14 hari. Justeru, KKM mengambil tindakan lebih tegas dengan menempatkan mereka di pusat-pusat kuarantin atau hotel-hotel yang telah dikenal pasti.

Walaubagaimanapun baru-baru ini kecoh di media sosial apabila seorang wanita mendakwa ditempatkan di hotel Hilton bertaraf 5 bintang dengan  pembiayaan sepenuhnya oleh kerajaan.

Bagi menjawab isu tersebut, Kerajaan dilaporkan tidak pilih kasih dalam soal penempatan pusat kuarantin untuk rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara seperti yang tular dalam media sosial semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kerajaan hanya menanggung kos penempatan termasuk makan dan minum setiap individu terhad kepada RM150 sehari, manakala mereka yang memilih untuk dikuarantin di hotel yang melebihi kadar itu, perlu menanggung kos selebihnya.

Menteri Pertahanan itu berkata, bagaimanapun mereka hanya diberi pilihan untuk ditempatkan di 45 hotel yang telah ditetapkan kerajaan bagi memudahkan pemantauan.

“Yang kerajaan (pilih) adalah hotel bertaraf tiga atau empat bintang, terserah kepada pengusaha hotel kalau nak beri diskaun.

“Tetapi yang lain dipilih oleh individu yang berminat untuk membayar sendiri, sebab itulah ada hotel-hotel yang kita tentukan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri mengenai Perintah Kawalan Pergarakan (PKP) di sini, hari ini, lapor Bernama.

Ismail Sabri menjelaskan, pada peringkat awal, hotel dipilih sebagai pusat kuarantin berikutan terdapat permohonan daripada kedutaan asing untuk menempatkan perwakilan mereka yang tiba di negara ini.

“Ini kerana tiada pengecualian kepada mereka yang pulang dari luar negara untuk dikuarantin, termasuk diplomat asing. Kalau mereka balik ke negara kita, mereka juga mesti dikuarantin.

“Jadi mereka minta supaya mereka tinggal di hotel yang akan dibayar oleh kedutaan masing-masing,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, terdapat juga rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara memilih dikuarantin di hotel dan sanggup membayar kos mereka sendiri.

Walaupun mereka ditempatkan di hotel, prosedur operasi standard (SOP) adalah sama seperti di pusat kuarantin lain termasuk tidak dibenarkan sama sekali keluar dari bilik atau menerima pelawat, katanya.

“Jadi kalau mereka memilih hotel sesuka hati tidak mengikut hotel yang disenaraikan, tentu sahaja kami akan menghadapi kesukaran untuk membuat pemantauan. Bayangkan hotel di Petaling Jaya ada lima orang, di Putrajaya ada lima orang, susah untuk kerajaan memantau,” katanya.

Berikut antara pusat kuarantin yang disediakan pihak kerajaan bagi membendung Covid19, Hotel 3 atau 4 bintang dan juga convention centre yang ditukar menjadi fasiliti kesihatan yang lengkap

Pusat kuarantin di Akept Nilai

Fox Lite Hotel

Maeps Serdang yang siap dalam 4 hari boleh menempatkan lebih 600 pesakit.

Kesimpulannya, kerajaan telah mengambil langkah proaktif dalam mengawal wabak dari terus merebak, kemudahan dan fasiliti yang disediakan dalam memberi keselesaan kepada penduduk Malaysia perlu dipuji.

Syabas kerajaan Malaysia, diharap wabak ini akan segera berakhir.

This website uses cookies.