Warga emas terkejut baki wang tinggal RM63 dalam bank

sumber foto bharian

Walaupun sudah memasuki tahun 2020, scam-scam seumpama Macau scam ini masih hebat di jalankan di negara kita. Beribu-ribu orang ditipu dengan cara menakut-nakutkan mangsa seolah-olah mereka telah melanggar undang-undang dan mengambil kesempatan itu untuk mendapatkan wang mereka. Ramai antara kita yang mulai sedar akan taktik ini namun ada juga yang tiada maklumat dan masih ditipu. Berikut antara kisah mangsa penipuan Macau Scam.

KUANTAN: Seorang warga emas terkejut apabila mendapati wang RM80,000 dalam simpanannya hanya berbaki RM63.21 sen selepas memeriksa akaun bank miliknya semalam.

Wanita berusia 64 tahun itu berputih mata kerana telah diperdaya sindiket Macau Scam yang melibatkan penyamaran sebagai pegawai bank dan anggota polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, akibat rasa takut kerana dikaitkan dengan satu kes pengubahan wang haram, selain mempunyai tunggakan pinjaman bank berjumlah RM50,000, wanita itu mendaftarkan nombor telefon individu lain dalam daftar akaun bank miliknya.

Menurutnya, mangsa telah menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai sebuah bank di Kuala Lumpur pada 2 Disember tahun lalu.

“Suspek memaklumkan, mangsa ada membuat pinjaman dari bank berkenaan, cawangan Serdang Perdana, dan berlaku tunggakan bayaran balik mencecah RM50,000.

“Mangsa kemudian menafikan perkara itu dan panggilan disambung kepada anggota polis bagi tujuan semakan sebelum mangsa dimaklumkan dia turut dikehendaki atas kes pengubahan wang haram,” katanya.

Mohd Wazir menjelaskan, mangsa bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan dia diminta berurusan dengan seorang lagi wanita, kononnya pegawai dari Bank Negara, bagi urusan menyelesaikan kes tersebut.

Jelasnya, suspek yang kononnya pegawai dari Bank Negara itu mengarahkan mangsa supaya memindahkan semua wangnya, termasuk wang simpanan dari akaun bank lain, ke satu akaun bank miliknya.

“Pemindahan itu perlu dibuat bagi tujuan siasatan, katanya, dan mangsa akur dengan arahan itu, sekali gus memindahkan wang dari akaun Tabung Hajinya berjumlah RM65,000 dan wang hasil gadaian barang kemas RM7,450, selain baki sedia ada, ke dalam akaun berkenaan.

“Mangsa kemudian diminta mengemaskini akaun banknya itu dengan menukar nombor telefon lama kepada nombor baharu yang diberikan,” katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas semua arahan itu diikuti, mangsa membuat semakan akaun bank tersebut pada 5 Februari lalu dan terkejut apabila mendapati wang dalam akaun itu hanya berbaki RM63.21 sen.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sumber: Astro Awani

This website uses cookies.